Ramli, Basri
(2009)
KECELARUAN DALAM KEPIMPINAN LEMBAGA PENGELOLA SEKOLAH: SATU KAJIAN DOKUMEN DARI PERSPEKTIF PERUNDANGAN.
Prosiding Seminar Nasional Kepimpinan dan Pengurusan Pendidikan Ke-19 2009.
pp. 127-137.
ISSN 983-9479-17-2
Abstract
Undang-undang yang digubal oleh Parlimen Malaysia dan yang berkuat kuasa dalam mengawal perjalanan dan fungsi Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) ketika ini adalah Akta Pendidikan 1996 (AP 1996). Dalam konteks LPS, AP 1996 yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 1998 menetapkan sekolah-sekolah yang ada LPS terbahagi kepada empat kategori iaitu sekolah swasta, sekolah bantuan kerajaan, sekolah jenis kebangsaan dan sekolah kerajaan yang ditentukan oleh Menteri Pelajaran. AP 1996 juga menetapkan bahawa semua LPS hendaklah mematuhi undang-undang di bawah AP 1996 dan mengelolakan sekolah mengikut cara yang ‘tidak tak konsisten' dengan AP 1996 dan mana-mana peraturan yang dibuat di bawah AP 1996. Kajian analisis dokumen perundangan mengenai LPS mendapati bahawa terdapat asas-asas yang kukuh yang boleh menimbulkan kecelaruan yang besar dalam pengurusan dan kepimpinan LPS ketika mengelolakan sekolah. Kajian mendapati kecelaruan yang utama meliputi: pertama, kecuali bagi sekolah swasta, belum ada peraturan-peraturan pendidikan yang digubal di bawah AP 1996 bagi mengawal perjalanan dan fungsi LPS. Kedua, peraturan-peraturan yang sedia berkuat kuasa telah digubal di bawah Akta Pelajaran 1961 yang telah dimansuhkan dengan berkuat kuasanya AP 1996. Ketiga, peruntukan undang-undang mengenai LPS yang berkuatkuasa ini bukanlah merupakan satu peraturan-peraturan yang bersekali, malah digubal secara berasingan di bawah tiga peraturan-peraturan pendidikan yang berlainan iaitu: Peraturan-Peraturan (Sumbangan) 1962; Peraturan-Peraturan Sekolah Bantuan (Pengurusan), 1962; dan Peraturan-Peraturan Institusi Pendidikan (Suratcara Pengurusan atau Pengelolaan) 1963. Keempat, peraturan-peraturan pendidikan LPS sedia ada mengandungi banyak peruntukan-peruntukan undang-undang yang ketinggalan zaman dan tidak releven lagi terhadap perjalanan dan fungsi LPS, justeru perlu dikemas kini. Dan kelima, penggubalan peraturan-peraturan pendidikan LPS yang baru adalah kritikal dalam memastikan bukan sahaja LPS dapat melaksanakan peranan dan fungsi mereka dengan telus dan mematuhi undang-undang bahkan pendaftar sekolah di negeri-negeri juga. Saranan ini adalah selaras dengan usaha ke arah menghapuskan kecelaruan dalam pengurusan dan kepimpinan pendidikan di peringkat sekolah, negeri dan kebangsaan serta memacu ke arah peningkatan kualiti sistem pendidikan kebangsaan.
Actions (login required)
 |
View Item |