Maimunah , Muda
(2004)
KEPEMIMPINAN SITUASI DI KALANGAN PENGETUA SEKOLAH DI MALAYSIA.
Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan Ke-12 2004.
pp. 247-254.
ISSN 983-9479-17-2
Abstract
Sekolah berkesan kebiasaannya dipimpin oleh pengetua yang berkesan; stail kepemimpinan ialah pemangkin kepada kecemerlangan sekolah. Tujuan kajian adalah untuk melihat kepemimpinan situasi yang diamalkan oleh pengetua sekolah di Malaysia. Secara spesifik ia memberi maklumat tentang stail kepemimpinan, keupayaan mempelbagaikan stail dan kesesuaian stail pengetua mengikut situasi. Kajian juga melihat interaksi antara pemboleh ubah ciri guru dan ciri tugas dengan stail kepemimpinan. Asas teori yang digunakan adalah berdasarkan model kepemimpinan situasi Blanchard et at 1969 dan dikemas kini pada tahun 2000 yang telah mengemukakan empat jenis stail kepemimpinan iaitu stail mengarah, membimbing, menyokong dan mendelegasi. Kajian dijalankan di empat jenis sekolah di Semenanjung Malaysia: Sekolah Menengah Harian, Sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Menengah Teknik dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama. Data diperolehi melalui soal selidik, temu bual dan pemerhatian ke atas 350 orang pengetua dan lapan orang guru. Soal selidik Leadership Behavior Analysis 11 (LBA 11) telah dijawab oleh 346 orang pengetua yang dipilih melalui persampelan kelompok pelbagai peringkat, manakala empat orang Pengetua Kanan sebagai peserta pemerhatian dan lapan orang guru sebagai peserta temu bual telah dipilih secara bertujuan. Data soal selidik dianalisis dengan menggunakan statistik deskriptif dan inferensi iaitu ujian Khi Kuasa Dua, Mann-Whitney dan Kruskal-Wallis. Dapatan kajian menunjukkan bahawa pengetua telah mengamalkan stail kepemimpinan situasi apabila mengurus sekolah dan stail utama ialah stail membimbing diikuti oleh stail menyokong, mengarah dan mendelegasi. Stail mengarah lazimnya digunakan terhadap guru-guru baru, stail membimbing terhadap guru-guru yang kurang berpengalaman dan pengetahuan, stail menyokong terhadap guru-guru berpengalaman dan stail mendelegasi terhadap guru-guru kanan. Pengetua didapati mampu mempelbagaikan stail namun keberkesanan kepemimpinan mereka berada pada tahap rendah. Data temu bual dan pemerhatian telah mengukuhkan andaian teori bahawa stail kepemimpinan pengetua dipengaruhi oleh ciri guru dan ciri tugas. Faktor gred sekolah dan pengalaman berkhidmat sebagai pengetua memberi kesan kepada tahap keberkesanan kepemimpinan pengetua.
Actions (login required)
 |
View Item |