Azlin Norhaini , Mansor
(2004)
AMALAN PENGURUSAN PENGETUA: SATU KAJIAN KES.
Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan Ke-12 2004.
pp. 255-265.
ISSN 983-9479-17-2
Abstract
Amalan pengurusan pengetua merujuk kepada semua aktiviti dan peranan yang dimainkan oleh pengetua semasa mereka menjalankan tugas-tugas pengurusan di sekolah. Amalan bermaksud strategi atau proses yang dilakukan sebagai satu kebiasaan dan dilaksanakan secara konsisten dan berterusan, manakala maksud pengurusan ialah "...satu proses tindakan yang merangkumi proses menentukan tujuan-tujuan atau matlamat sesuatu organisasi di samping proses menggerakkan anggota dan sumber yang terdapat dalam organisasi dan menggunakan pelbagai strategi tindakan supaya tercapai matlamat yang telah ditetapkan." (Robiah 2003:8). Pengetua pula ialah individu yang bertanggungjawab melaksanakan 'proses tindakan', ‘menentukan matlamat' dan 'proses menggerakkan anggota' bagi memastikan operasi harian di sekolah dapat berjalan dengan lancar dan berkesan.
Dalam konteks amalan pengurusan di sekolah, peranan pengetua semasa melakukan tugas-tugas pengurusan sering menjadi topik perbincangan hangat sehingga kadangkala menimbulkan kontroversi di kalangan warga pendidikan sendiri. Ini mungkin disebabkan oleh harapan yang terlalu tinggi oleh pelbagai pihak terhadap pengetua dalam menghasilkan pengurusan yang berkesan lagi cemerlang. Peranan pengetua pada milenium ini juga harus disesuaikan dengan arus perubahan masa kini seperti isu globalisasi dan pembangunan teknologi informasi dan telekomunikasi.
Kebanyakannya membincangkan tentang matlamat dan proses mengurus dan kurang memberi penekanan kepada intipati, aktiviti dan peranan sebenar yang dilakukan oleh pengetua semasa mereka mengurus. Peranan-peranan yang dicadangkan juga bertindak dan tidak menyeluruh. Yang pasti, masih terdapat kekeliruan dan perbezaan pandangan antara para akademik dan pengamal pendidikan tentang peranan pengurusan yang sebenar. Untuk mengetahui apakah peranan mereka yang sebenar, adalah wajar sekali kita cuba memahami dan mengetahui terlebih dahulu jawapan kepada dua soalan berikut; "Apakah yang sebenarnya pengetua lakukan di sekolah?", "Apakah aktiviti pengetua sepanjang hari semasa mereka mengurus sekolah?" Maka, tujuan kertas ini tidak lain ialah untuk membincangkan apakah sebenarnya aktiviti iaitu perkara-perkara yang dilakukan oleh pengetua setiap hari sepanjang mereka menjalankan tugas-tugas pengurusan di sekolah. Penulis yakin, senarai peranan yang dimainkan oleh pengetua akan menjadi lebih jelas setelah jawapan kepada kedua-dua soalan tersebut diperolehi.
Actions (login required)
 |
View Item |