Mahathir Fansuri, Azizan
(2014)
ISO 9000 : PEMANGKIN LONJAKAN ORGANISASI.
Institut Aminuddin Baki, Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan.
ISBN 978-967-0504-19-3
Abstract
Penyelesaian cabaran-cabaran dunia pendidikan yang dinamik tidak terbatas
diselesaikan dengan ilmu pendidikan sahaja. Amalan terbaik daripada pelbagai bidang
dapat melengkapi diri kita dalam mengharungi kompleksiti dunia pendidikan masa kini.
Pelbagai displin limu dalam pelbagai bidang telah pun diperkenalkan dalam ilmu kepimpinan
pendidikan seperti bidang perniagaan (Strategi Lautan Biru, Perancangan Strategik) dan
industri (Pengurusan Mutu Menyeluruh, ISO 9001 : 2008, Penandaarasan).
Pendekatan displin ilmu luar daripada bidang pendidikan hanya akan berjaya
jika kita bukan sahaja mempunyai kemahiran praktikal (know how) bagaimana
melaksanakannya, tetapi kita juga perlu mengetahui kefahaman (know why) mengapa kita
perlu melaksanakannya. Pelaksanaan sesuatu dasar berkesan jika anggota organisasi
sedar dan menghargai keperluan perubahan yang dibuat. Berdasarkan Teori Perubahan
Lewin, kesedaran dan kerelaan anggota organisasi merupakan langkah pertama
yang perlu dilaksanakan untuk perubahan. Kesedaran akan timbul jika keberkesanan
ISO 9000 ditonjolkan, sekaligus menghapuskan tanggapan negatif terhadap ISO 9000
yang biasanya dianggap menyusahkan sahaja. Buku ini ditulis bertujuan bukan sahaja
memberi kefahaman yang jelas mengenai ISO 9000, malahan mencadangkan amalan
praktikal untuk kecemerlangan organisasi. Buku ini mencadangkan pelbagai alat kualiti
dan pengurusan dan amalan terbaik yang diamalkan di banyak sektor seperti perniagaan,
pendidikan dan sukan, namun sesuai diamalkan di semua bidang sebagai panduan
bersama.
Penulis ingin membuka minda pembaca agar melihat ISO 9000 bukan hanya
pada dokumentasi dan pensijilan, tetapi memahami ISO 9000 secara menyeluruh.
Dokumentasi hanyalah salah satu alat mengawal proses dalam ISO 9000. Gerak kerja
menyeluruh seluruh organisasi dalam memenuhi kehendak pelanggan yang paling utama.
Pensijilan pula bukanlah matlamat akhir pelaksanaan ISO 9000, tetapi ianya adalah
bonus tambahan selepas organisasi mendapat faedah peningkatan prestasi dengan
mengamalkan ISO 9000.
Buku ini ditulis berpandukan standard-standard, laporan-laporan teknikal,
pekeliling-pekeliling kerajaan, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, jurnal-jurnal,
artikel-artikel, buku-buku dan nota-nota Institut Aminuddin Baki. Di samping penggunaan
bahasa yang mudah difahami, buku ini ditulis khusus untuk pemimpin-pemimpin pendidikan
di setiap lapisan sama ada di bahagian mahupun sekolah bagi memahami ISO 9000 dan
melaksanakannya dengan betul dan berkesan. Buku ini juga boleh dibaca oleh setiap
lapisan masyarakat kerana ISO 9000 sendiri bersifat universal, boleh dipraktikkan di
mana-mana bidang.
Actions (login required)
 |
View Item |