%0 Generic %A Silam, Dexter. %F iab_repo:1318 %I Fakulti Psikologi dan Pendidikan, Universiti Malaysia Sabah %K kompetensi kepimpinan, kepimpinan instruksional, pengetua, sekolah pulau %T Kompetensi Kepimpinan dan Amalan Kepimpinan Instruksional Pengetua Sekolah Pulau di Negeri Sabah. %U http://eprints.iab.edu.my/v2/1318/ %X Kompetensi kepimpinan dan kepimpinan instruksional pengetua sekolah merupakan satu isu dalam pendidikan ke arah meningkatkan keberkesanan dan kecekapan pengurusan sesebuah sekolah. Justeru, Kementerian Pendidikan Malaysia berhasrat untuk melahirkan pengetua sekolah yang beraspirasi dan berpotensi tinggi untuk menjadi pemimpin sekolah berprestasi tinggi. Kajian ini bertujuan untuk meneroka kompetensi kepimpinan dan amalan kepimpinan instruksional dan pelaksanaannya oleh pengetua sekolah pulau di negeri Sabah. Kajian kualitatif ini menggunakan pendekatan kajian kes. Kajian kes digunakan untuk meneroka dan memahami serta mendalami fenomena yang berlaku berdasarkan perspektif peserta kajian. Seramai 12 orang peserta kajian yang terdiri daripada pengetua, penolong kanan kurikulum dan guru mata pelajaran yang terlibat dalam kajian ini. Proses pengumpulan data dibuat dengan menggunakan kaedah temu bual, pemerhatian dan analisis dokumen. Data-data kajian diproses dan dianalisis dengan menggunakan perisian ATLAS.ti 8. Dapatan data berpandukan teori kompetensi kepimpinan dan kepimpinan instruksional. Kompetensi kepimpinan merangkumi tingkah laku, pengetahuan dan kemahiran. Manakala kepimpinan instruksional melibatkan tiga domain utama iaitu mendefinisi misi sekolah, mengurus program instruksional dan membentuk iklim sekolah yang positif. Pengkaji melakukan triangulasi data untuk meningkatkan kebolehpercayaan data. Dapatan kajian menunjukkan bahawa kompetensi kepimpinan dan kepimpinan instruksional sangat penting bagi pengetua sekolah di pulau untuk memastikan kecemerlangan sekolah dapat dicapai. Pengetua sekolah di pulau harus memiliki kompetensi kepimpinan dan kepimpinan instruksional dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai pemimpin secara cekap dan berkesan sama ada berfokuskan kepada kepimpinan sekolah, pengajaran guru, mahu pun aspek operasional. Dapatan baharu di bawah aspek kompetensi kepimpinan seperti pengetahuan tentang kehidupan di pulau, kemahiran berbahasa tempatan, kemahiran berenang dan bersifat mesra menunjukkan bahawa kompetensi kepimpinan sekolah di pulau memerlukan anjakan dan perubahan mengikut keperluan kepimpinan sekolah di pulau. Dapatan kajian juga membuktikan bahawa setiap komponen dalam kompetensi kepimpinan yang dipraktikkan bersama kepimpinan instruksional dapat memastikan pengurusan dan kepimpinan sekolah sentiasa terancang dan sistematik serta mampu mengikuti arus perubahan semasa dalam konteks pendidikan global. Dapatan kajian ini diharapkan dapat digunakan sebagai rujukan dan panduan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia khasnya Institut Aminuddin Baki sebagai pusat latihan kepimpinan pemimpin pendidikan untuk mengkaji dan merangka model kepimpinan pemimpin sekolah pulau yang lebih relevan, efektif dan sesuai dengan persekitaran sekolah di pulau. Malah kajian ini juga diharap dapat memberi input kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, pengetua dan guru besar sebagai panduan dalam mencorakkan kecemerlangan pendidikan sekolah di pulau.