%X Sebagai peneraju utama dalam bidang pengurusan dan kepimpinan pendidikan di Malaysia, Institut Aminuddin Baki (IAB) sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti program latihan dan perkhidmatan yang disediakan kepada warga Kementerian Pelajaran Malaysia melalui konsep latihan menyeluruh. Salah satu inovasi terkini yang diperkenalkan adalah Program e-Pembelajaran IAB. Fokus IAB adalah dalam pembangunan profesional pengurus dan pemimpin pendidikan di Malaysia. Ini adalah sedikit berbeza dengan pendekatan bercorak akademik di Instutusi Pengajian Tinggi (IPT). Sehubungan itu, konsep e-Pembelajaran yang digunakan dalam program e-Pembelajaran IAB juga adalah sedikit berbeza daripada pendekatan yang diguna di IPT. Pendekatan IAB adalah lebih bersifat latihan di tempat kerja atau berkaitan dengan kerja. la melibatkan perluasan konsep pembelajaran yang mencakupi pembelajaran secara tradisional, e-Pembelajaran serta perkhidmatan konsultasi di tempat kerja yang mengamalkan pendekatan coaching and mentoring. Konsultasi ini boleh dilaksanakan secara fizikal ataupun di atas talian. Sebagai contoh, kursus yang diberikan kepada calon-calon Pengetua atau Guru Besar adalah secara tradisional di kampus IAB. Setelah tamat fasa pertama kursus ini, mereka kembali ke tempat bertugas masing-masing untuk meneruskan perkhidmatan mereka di samping meneruskan pembelajaran di fasa kedua melalui pembelajaran di tempat kerja. Ini dapat dilakukan menerusi portal e-Pembelajaran dengan dibimbing oleh pensyarah-pensyarah penyelia masing-masing. Mereka juga boleh berkomunikasi dengan rakan-rakan yang lain melalui komuniti maya (virtual community) di portal e-Pembelajaran atau menjalankan sesuatu projek secara berkumpulan dengan rakan-rakan di komuniti maya ini. Apabila tamat kursus ini, mereka mempunyai pilihan sama ada untuk terus menggunakan portal ini bagi meningkatkan ketrampilan profesional mereka atau tidak lagi menggunakannya. Keahlian mereka dalam portal ini dan komuniti maya ini tidak ditamatkan selepas mereka tamat pengajian. Mereka masih boleh menggunakan kemudahan ini serta terlibat dalam komuniti maya di portal ePembelajaran ini mengikut minat dan keperluan mereka. Di samping itu, apabila mereka memerlukan bimbingan atau khidmat nasihat, konsultan yang berpengalaman atau pensyarah IAB dapat memberikan khidmat konsultasi, sama ada melalui portal e-Pembelajaran ini atau secara bersemuka. Konsep ini mungkin kelihatan bersifat ideal untuk dilaksanakan dan masih banyak rintangan yang perlu dihadapi untuk merealisasikannya. %A Che Kassim Ahmad Rafee %A Samsudin Mazlan %D 2007 %K pembangunan kepimpinan, E-PEMBELAJARAN, iab, INOVASI, PEMBANGUNAN KEPIMPINAN PENDIDIKAN %I Institut Aminuddin Baki %L iab_repo155 %T E-PEMBELAJARAN IAB: INOVASI DALAM PEMBANGUNAN KEPIMPINAN PENDIDIKAN %P 112-128 %J Prosiding Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan Ke-14 2007