IAB Institutional Repository

Fasilitator perubahan pengetua, komuniti pembelajaran profesional dan komitmen pengajaran guru di Sarawak

Udin, Samsiah Fasilitator perubahan pengetua, komuniti pembelajaran profesional dan komitmen pengajaran guru di Sarawak. Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia USM, Pulau Pinang.

[img] PDF
Download (39kB)

Abstract

Kajian ini bertujuan untuk mengkaji pengaruh komuniti pembelajaran profesional sebagai moderator terhadap hubungan antara gaya fasilitator perubahan pengetua dengan komitmen pengajaran guru di Sarawak. Kajian ini menggunakan kaedah gabungan penerangan berurutan KUAN-Kual. Data bagi kajian kuantitatif dikumpulkan dengan menggunakan instrumen soal selidik Change Facilitator Style Questionnaire (CFSQ), Professional Learning Communities Assessment-Revised (PLCA-R) dan komitmen pengajaran guru. Seramai 644 orang guru telah dipilih secara rawak daripada 67 buah sekolah menengah kebangsaan harian biasa di negeri Sarawak sebagai sampel kajian kuantitatif. Data kuantitatif telah dianalisis pada peringkat organisasi. Sementara itu, pengumpulan data kualitatif dilakukan melalui kaedah temu bual separa berstruktur terhadap tiga orang pengetua yang mengamalkan gaya fasilitator perubahan initiator, manager dan responder serta dua belas orang guru. Dapatan kajian menunjukkan bahawa pengetua di negeri Sarawak mengamalkan tiga jenis gaya fasilitator perubahan iaitu Initiator (2 orang), Manager (48 orang) dan Responder (17 orang). Dapatan kajian juga menunjukkan bahawa tahap amalan komuniti pembelajaran profesional dan tahap komitmen pengajaran guru di Sarawak adalah tinggi. Di samping itu, hasil pengujian hipotesis menunjukkan bahawa terdapat pengaruh yang signifikan gaya fasilitator perubahan terhadap amalan komuniti pembelajaran profesional dan tahap komitmen pengajaran guru. Selain itu, komuniti pembelajaran profesional juga menunjukkan pengaruh yang signifikan terhadap tahap komitmen pengajaran guru. Kajian juga mendapati komuniti pembelajaran profesional mempunyai pengaruh moderasi terhadap hubungan antara gaya fasilitator perubahan pengetua dengan komitmen pengajaran guru. Manakala, hasil dapatan temu bual menunjukkan bahawa pengetua yang mempunyai gaya fasilitator perubahan Initiator dan Manager sentiasa memberikan galakan, sokongan dan bimbingan penambahbaikan idea kepada guru dalam usaha meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran serta menghasilkan idea kreatif dan inovatif. Sebaliknya, pengetua yang mempunyai gaya fasilitator perubahan Responder lebih banyak mendelegasikan kuasa kepada pengurusan pertengahan. Justeru, dapatan kajian ini telah memberi implikasi terhadap pemerkasaan pengurusan perubahan yang menuntut agar pengetua mengamalkan gaya fasilitator perubahan initiator dalam melaksanakan perubahan di sekolah agar lebih mampan dan berkesan. Kesimpulannya, pengetua sebagai fasilitator perubahan haruslah membangunkan kapasiti kepimpinan guru melalui amalan komuniti pembelajaran profesional yang berkesan agar komitmen pengajaran guru dapat ditingkatkan seiring dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia.

Item Type: Other
Uncontrolled Keywords: fasilitator perubahan, komuniti pembelajaran professional, komitmen pengajaran guru
Subjects: L Education > L Education (General)
Divisions: Pusat Dokumentasi & Sumber Pendidikan > Jabatan Pusat Sumber
Depositing User: pdsp 2
Date Deposited: 06 Jul 2021 09:38
Last Modified: 06 Jul 2021 09:38
URI: http://eprints.iab.edu.my/v2/id/eprint/1190

Actions (login required)

View Item View Item